Selasa, 28 Februari 2017

Ary sudah tiada


Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعون

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Ary Malik, 46, meninggal dunia akibat kanser ovari di Hospital Ampang, di sini, jam 7.17 malam ini.
Suaminya, Shahrul Nizam Shahruddin, 46, mengesahkan Ary yang juga ibu kepada tiga anak menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga selepas tiga hari dirawat di hospital berkenaan.
Shahrul Nizam berkata, Ary atau nama sebenarnya Nurita Maliha Aryanee Malik Abdul Malik mula mengadu sakit di bahagian perut sejak setahun lalu.
“Dia menjalani pembedahan di Hospital Tuanku Mizan, Wangsa Maju pada Mei tahun lalu sebelum dikesan menghidap kanser ovari tahap empat.
“Selepas pembedahan baru kami mendapat tahu dia menghidap kanser. Pada mulanya kami ingatkan ketumbuhan biasa,” katanya.
Menurut Shahrul Nizam, Ary mula menjalani rawatan kimoterapi sejak Jun tahun lalu.
Terdahulu, Ary dibawa ke Hospital Ampang, Sabtu lalu berikutan keadaannya yang semakin lemah. Bagaimanapun, selepas dua hari dimasukkan ke hospital berkenaan, dia tidak sedarkan diri.
Jenazah Ary dibawa ke Masjid Kem Wardieburn, di sini, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota malam ini.
Selain berlakon drama, Ary turut aktif sebagai pengacara seperti program MTV Syok dan pernah terbabit sebagai peserta dalam Masterchef Malaysia pada 2011.
Ary juga kakak kepada penyanyi yang popular dengan lagu Flora Cinta iaitu Min Malik.
Ary meninggalkan tiga anak iaitu Nur Zoe Iman Malik, 19; Dinda Pelangi Timor Malik, 13; dan Ratu Chinta Mecca Malik, 11.
Sementara itu, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dalam kenyataannya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Setiausaha Agungnya, Hafiz Nafiah berkata, pemergian Ary adalah satu kehilangan buat industri hiburan tanah air.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 8:39 PM

0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...