Pengikut

MH370 | ‘Jika jumpa sehelai baju pun jadilah...’


Bera: Bapa kepada salah seorang mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370, Selamat Omar, 62, terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengesahkan penemuan 'flaperon' di Pulau Reunion, adalah milik pesawat malang itu.

Menurutnya, penemuan itu adalah di luar jangkaan kerana kedudukan flaperon itu dari lokasi sebenar pesawat itu disahkan terhempas iaitu di Selatan Lautan Hindi lebih setahun lalu adalah terlalu jauh.

"Ini memang di luar jangkaan...sebab ia terlalu jauh dari lokasi sebenar pesawat itu dikatakan terhempas.

"Namun saya tetap menerima ini sebagai takdir...Usaha pencarian bukti-bukti lain akan diteruskan oleh kerajaan Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama di kediamannya di Felda Bukit Mendi di sini, hari ini.

Selamat adalah bapa kepada mangsa Khairul Amri Selamat, 29.

Selamat berkata, dengan penemuan bukti terbaru itu mungkin sedikit sebanyak memudahkan usaha pencarian bukti-bukti lain termasuk barangan peribadi milik mangsa.

"Sekurang-kurangnya jika jumpa sehelai baju pun jadilah, ia untuk memberi keadilan kepada keluarga mangsa yang masih berharap agar mayat atau jenazah mereka dijumpai," katanya.

Pesawat MAS Penerbangan MH370 yang membawa Mohd Khairul Amri bersama 226 penumpang lain bersama 12 anak kapal ke Beijing, China hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac lalu.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama. Bernama

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/68705#sthash.66RQbxob.dpuf
Previous
Next Post »