Rabu, 19 Mac 2014

Kerajaan usaha dapatkan imuniti pegawai pelancongan di Sweden

Kerajaan usaha dapatkan imuniti pegawai pelancongan di Sweden



Kerajaan usaha dapatkan imuniti pegawai pelancongan di Sweden

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyedari perbezaan taraf diplomatik di setiap negara dan berusaha mendapatkan pengiktirafan kekebalan imuniti kepada semua pegawai Tourism Malaysia yang ditugaskan di Sweden.

Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin bagaimanapun berkata kerajaan akan sentiasa memastikan langkah dibuat mengikut perundangan negara berkenaan.

"Kita faham taraf diplomatik di setiap negara berbeza. Seperti kes pegawai Tourism Malaysia Azizul Raheem Awalludin dan isterinya, Shalwati Nurshal di Sweden, mereka diberi taraf diplomatik di Korea Selatan dan taraf itu berbeza di Sweden.

"Ia sekaligus menyukarkan kerajaan kerana ia melibatkan perundangan Sweden namun kita memberi bantuan dari segi guaman dan khidmat nasihat,'' katanya semasa menjawab soalan tambahan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) pada sesi Dewan Rakyat pada Rabu.

Azizul dan isterinya, Shalwati ditahan di Sweden atas tuduhan mengasari dan mencabuli integriti anak-anak mereka.

Mereka sedang menjalani perbicaraan di Mahkamah Daerah Stockholm kerana didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman mereka di Sweden antara 15 September 2010 hingga 17 Disember 2013.

Dalam pada itu, jelas Hamzah, antara bantuan konsular yang diberi kerajaan adalah cuba menyelesaikan setiap kes pada peringkat awal.

"Kita akan bertemu pegawai berkenaan untuk mengetahui kedudukan kes dan sekiranya kes itu boleh diselesaikan di peringkat awal, maka urusan dengan pihak berkuasa tempatan akan dilakukan bagi membebaskan pegawai itu.

"Lawatan konsular termasuk membekalkan keperluan pegawai serta pertemuan dengan pegawai dan peguam bela akan dilakukan dari semasa ke semasa untuk mendapatkan maklumat dan nasihat mengenai perundangan negara berkenaan bagi memastikan hak pegawai terjamin,'' ujarnya.

Ketua Hakim Sweden, Ketua Hakim, Mattias Moller menetapkan 28 Mac ini untuk bacaan keputusan Azizul dan Shalwati.

Berita mula diterbitkan pada: Mac 19, 2014 16:39 (MYT)


0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...