Jumaat, 25 Oktober 2013

Tembak pegawai Ambank: Tiga suspek ditahan


SHAH ALAM 25 Okt. - Polis menahan dua pengawal keselamatan dan seorang wanita yang dipercayai bersubahat dan mempunyai kaitan dengan suspek yang menembak mati seorang pegawai operasi Ambank di Jalan USJ Sentral 2, Subang Jaya dekat sini kelmarin.

Dua pengawal keselamatan terbabit merupakan saudara suspek sementara wanita itu pula dipercayai isterinya berusia 20-an hingga 30-an.

Kesemua suspek yang merupakan rakyat negara jiran tetapi dipercayai menggunakan kad pengenalan palsu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Kemuning, Klang pada malam hari kejadian.

Susulan penahanan ketiga-tiga mereka, polis turut menemui wang tunai RM20,000 yang dipercayai sebahagian daripada RM450,000 hasil rompakan suspek dari peti besi Ambank cawangan berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, siasatan awal percaya selepas melarikan diri dari Ambank, suspek telah mengagih-agihkan sebahagian kecil hasil rompakan termasuk kepada tiga yang ditahan.
Beliau berkata, wang tunai RM20,000 itu disembunyikan mereka di sebuah pusat membeli-belah di Subang Jaya dekat sini yang merupakan tempat kerja dua pengawal keselamatan yang ditahan.

"Kita masih memburu suspek yang dipercayai masih berada di negara ini bersama hasil rompakan dan selaras pump gun yang digunakan untuk menembak mati mangsa.

"Siasatan kita juga percaya suspek yang dikenali sebagai Ardi Hamza, 37, bukan berasal dari Sabah tetapi dari negara jiran dan dipercayai menggunakan kad pengenalan palsu.

"Kini kita sedang menyiasat bagaimana suspek memperolehi kad pengenalan, serta dibenarkan menggunakan senjata api," kata beliau kepada pemberita di Pusat Media Polis Selangor di sini hari ini.
Difahamkan, suspek yang diburu berasal dari Sulawesi, Indonesia. - UTUSAN ONLINE

SUMBER
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131025/je_13/Tembak-pegawai-Ambank-Tiga-suspek-ditahan#ixzz2iiYTi1q1 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...