Sabtu, 30 Jun 2012

NAK TUNGGU APA KATA SUHAKAM TENTANG BERSIH 3.0


SUHAKAM mula siasatan awam terhadap perhimpunan Bersih 3.0 Khamis ini



KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan memulakan siasatan awam Khamis ini terhadap insiden semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April lalu. 

Setiausaha Suhakam, Rodziah Abdul, berkata terma rujukan untuk siasatan awam itu ialah bagi menentukan sama ada terdapat apa-apa pelanggaran hak asasi manusia terhadap mana-mana individu atau pihak semasa dan selepas perhimpunan berkenaan.
"Jika pelanggaran hak asasi manusia telah berlaku, siasatan awam akan menentukan bagaimana pelanggaran itu terjadi, apakah arahan pentadbiran dan prosedur atau aturan yang menyebabkan pelanggaran tersebut serta individu atau agensi yang bertanggungjawab.
"Selain itu siasatan awam akan mengesyorkan langkah-langkah untuk diambil bagi memastikan pelanggaran itu tidak berulang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Sehingga 21 Jun lalu, Suhakam telah selesai menjalankan semakan ke atas penghujahan awam yang diterima daripada orang awam dalam bentuk dokumen, kenyataan dan rakaman video serta telah mengenal pasti saksi-saksi, katanya. 

Rodziah berkata Suhakam juga sedang menunggu maklum balas daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menemu bual anggotanya yang bertugas semasa perhimpunan berkenaan. 

"Keputusan suruhanjaya untuk menjalankan siasatan awam terhadap dakwaan penggunaan kekerasan oleh pihak berkuasa semasa dan selepas perhimpunan dibuat selepas mengambil kira pemantauan suruhanjaya dan beberapa faktor lain yang berkaitan. 
"Ini termasuk penyerahan aduan, laporan dan memorandum daripada orang awam, kumpulan hak asasi manusia dan profesional serta kumpulan masyarakat sivil yang lain kepada suruhanjaya yang menggesa agar satu siasatan bebas dijalankan," katanya. 

Panel siasatan itu akan dipengerusikan oleh Naib Pengerusi Suhakam Datuk Dr Khaw Lake Tee, katanya. - BERNAMA

rujukan : BHONLINE

1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...