Jumaat, 11 Februari 2011

Lisa Surihani Sanggup Botak Kepala | SHAHAZRIN.COM

Sumber google [ noieizan.blogspot.com ]
SEUMUR hidupnya, rambut tidak pernah dibiar pendek atau diwarnakan meskipun kebanyakan gadis seusianya terutama yang membesar di ibu kota, menjadikan fesyen rambut sebagai satu cara ekspresi diri.

Sebaliknya Lisa Surihani Mohamed, 25, selesa dengan penampilan seadanya penuh kesederhanaan. Pun begitu, gadis cantik ini tidak keberatan untuk memotong pendek rambut atau membotakkan kepalanya jika itu yang dituntut dalam menjiwai sesuatu watak juga demi kepuasan dalam lakonan. Namun, ia mestilah bersyarat! "Saya tidak kisah melakukannya, tetapi ia bergantung pada bayaran yang ditawarkan. Jika bayaran bagus, mengapa tidak. Selain bayaran, saya juga perlu mengambil kira watak yang ditawarkan, apakah berbaloi untuk berbuat demikian. "Kalau watak yang diberi bagus, jalan ceritanya bagus dan diarahkan pengarah yang diyakini kemampuan, tentu saja saya sanggup berkorban walaupun rambut masih dara kerana tidak dipotong pendek atau diwarnakan," katanya.

Ditemui di Langkawi sempena percutian ekslusif Gemilang Bersama Bintang tajaan POTO Travel & Tours Sdn Bhd (POTO) yang turut disertai dua selebriti terkenal, Shaheizy Sam dan Faizal Ismail, baru-baru ini, Lisa juga teruja bercerita watak idamannya dan mudahan angan menjadi kenyataan pada 2011 ini.

"Saya pernah nyatakan ini tahun sudah, saya mencari watak yang jauh dari sanubari. Erti kata lain bertentangan dengan sifat-sifat yang saya ada. Misalnya, gadis bisu dan watak yang menyerlah sudut artistik seorang pelakon. "Saya kepingin melakonkan watak yang memerlukan saya menjalani ujian stamina untuk mengubah bentuk badan mengikut tuntutan watak yang dikehendaki. "Saya sukakan cabaran seperti ini kerana ia bukan saja memerlukan seseorang pelakon membuat persiapan mental, tetapi juga fizikal," katanya.

Tidak pernah menjangkakan bergiat serius dalam lapangan seni kerana merancang untuk meneruskan legasi arwah ayahnya dalam bidang guaman sekembalinya dari Aberystwyth University in Wales, United Kingdom, namun tawaran yang datang tidak pernah putus menguji Lisa.

Enggan mempersiakan kepercayaan yang diberikan, Lisa mencuba lalu tewas kerana dia harus mengakui cinta kepada seni begitu menebal.

Mengimbas kembali pembabitan gadis sunti yang terlebih dulu mencipta nama dalam dunia komersial ini, Lisa tidak terkecuali menerima kritikan apabila lakonannya dikatakan kaku. Namun, setiap drama mahupun filem yang dibintangi adalah proses pembelajaran buat Lisa untuk memperbaiki kelemahan. Memandang positif setiap kritikan akhirnya Lisa berjaya di atas usahanya sendiri apabila dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Festival Filem Malaysia ke-23, tahun lalu menerusi Ayu yang dimainkan menerusi filem Lagenda Budak Setan (LBS).

Selain LBS, lima filem lakonan Lisa turut ditayangkan sepanjang 2010 adalah Rempit V3 : Samseng Jalanan, Semerah Cinta Stilleto MIG, Zoo dan Jangan Pandang Belakang Congkak 2. Semuanya adalah terbitan MIG Metrowealth. Manakala dua lagi adalah Kapoww : Atoi The Ajaib Boy terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd dan Lagenda Budak Setan (Tarantella Pictures).

Bagaimanapun, tahun ini Lisa mahu lebih selektif dalam memilih tawaran. Keputusan itu dibuat bukan hanya untuk kepuasan diri sendiri, tetapi juga kelainan pada penonton.

"Sebenarnya sejak tahun lalu saya mula memandang serius setiap watak yang ditawarkan dan kerana itulah hanya dua filem saya akan menemui penonton iaitu Ombak Rindu arahan Osman Ali dan Sekali Lagi ditangani Hashim Rejab.

"Kedua-duanya adalah filem yang cukup istimewa. Meski pembabitan dalam Ombak Rindu sekadar pelakon pembantu, saya berasa puas kerana sudah melakukan sehabis baik untuk filem itu.

"Memegang watak sebagai Mila Amylia, seorang model terkenal, watak ini memerlukan saya menjadi seorang yang berbeza dari diri saya yang sebenar kerana Mila penggoda, berkeyakinan dan paling mencabar untuk kelihatan seperti model adalah ketinggian saya.

"Manakala Sekali lagi saya memegang watak sebagai Sheila, seorang ibu tunggal yang membesarkan anaknya Amy (Mia Sara Nasuha) selepas ditinggalkan suaminya. Lima tahun menanggung keperitan hidup sendirian, suaminya Arman watak yang dimainkan Shaheizy Sam muncul kembali.

"Watak ini amat sukar buat saya kerana pertamanya sudahlah saya tidak pernah berkahwin, terpaksa pula membawakan watak seorang ibu yang membesarkan anak sendiri. Terus-terang ia bukan perkara mudah dizahirkan kerana memerlukan permainan emosinya cukup kuat.

"Lisa Surihani dalam dunia realiti adalah seorang yang pemaaf, namun Sekali Lagi saya bagaikan tugu kebal. Saya banyak bertanya dengan pengarah di samping mendapatkan pandangan daripada Sam untuk benar-benar menjiwai watak itu," katanya bakal menjalani penggambaran Zoo The Series tidak lama lagi.

Sempena kedatangan Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 yang diadakan pada 3 April nanti di Arena Of Stars Genting Highlands, Lisa disebut-sebut boleh mendominasi kategori terunggul iaitu anugerah Bintang Paling Popular. Atau, setidak-tidaknya menguasai kategori Pelakon TV Wanita Popular yang turut mencalonkan Fasha Sandha, Noorkhiriah, Scha Alyahya dan Tiz Zaqyah termasuk Pelakon Filem Wanita Popular dibarisi Diana Danielle, Liyana Jasmay, Maya Karin dan Scha Alyahya.

Bagaimanapun, Lisa tidak mahu meletakkan sebarang harapan kerana mengakui saingan bukan calang-calang. Baginya, kalau menang itu rezeki, kalau tidak pun tak mengapa. "Sampai ke peringkat ini pun sudah besar maknanya buat saya kerana bukan mudah membuatkan orang meyakini bakat kita sehingga mereka berusaha mencalonkan nama kita dalam anugerah berprestij seperti ini.

"Cuma saya agak terkejut apabila di calonkan menerusi kategori Pelakon TV Wanita Popular. Jika filem itu saya mungkin ada logiknya juga kerana pada 2010 saya muncul dengan enam filem. Apapun terima kasih kepada peminat yang mengundi saya," katanya.

sumber : harian metro

3 ulasan:

  1. nk wt cam amani la tu.. klau pndek boleh trime lg.. klau dh smpai botakkn tu mlampau.. mne boleh botakkn rmbut.. mcm2 la artis skrg ni!

    jemput singgah sini ANASAURUS :)

    BalasPadam
  2. jarang seseorang artis sanggup ambil risiko membotakkan rmbut hanya semata2 untuk menjiwai sesuatu watak. dulu sh. amani kan? tabikk springgg!

    BalasPadam
  3. sekarang make up je dah boleh jd botak.. tak payah potong rambut pun...

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...