Sabtu, 15 Mei 2010

LESEN JUDI

KENYATAAN AKHBAR
logo_kecil2
PERKASA MEMBANTAH CADANGAN PENGELUARAN LESEN JUDI PIALA DUNIA

PERKASA membantah sekeras-kerasnya cadangan kerajaan untuk mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen bagi membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan. Sebagai mana yang dijelaskan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein, alasan utama kerajaan adalah untuk membendung aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

PERKASA berpandangan bahawa alasan sperti ini langsung tidak boleh diterima bagi menjustifikasikan sesuatu yang bukan sahaja haram dari segi agama bahkan membelakangi prinsip nilai dan akhlak. Sesuatu yang haram dari segi agama tidak boleh dihalalkan melaluiapa jua tindakan dan justifikasi. Apakah selepas ini kerajaan akan mengeluarkan lesen pelacuran pula kerana mengambil alasan yang sama bagi membendung aktiviti pelancuran haram?

Yang nyata negara sudah cukup terbeban dengan pelbagai permasalahan akhlak dan krisis nilai yang semakin kuat menggejala hingga menghakis jati diri generasi muda hari ini. Negara pastinya tidak mahu terjerumus pula dengan malapetaka moral yang lebih parah dengan mengizinkan pengeluaran lesen-lesen perjudian sebegini.

Hakikat yang tidak dapat disangkal lagi, menginstitusikan pusat perjudian hanya akan menuntun kepada permasalahan sosial dan gejala moral yang lebih kronik. Menghalalkan perjudian adalah seperti membiarkan nilai agama dan kekuatan budaya yang menerasi jati diri masyarakat selama ini diperkotak-katikkan.

Seharusnya apa yang lebih penting untuk diperhitungkan ialah dampak sosial dan keruntuhan moral yang bakal terbiak daripada gejala perjudian seperti budaya berhutang, masalah along, pelacuran, gengsterisme, memeras-ugut, merompak, membunuh dan pelbagai lagi unsur-unsur jenayah yang pastinya membimbangkan kita bukan sahaja mampu mencairkan jati diri bahkan membunuh masa depan generasi muda negara.

Menyedari realiti pelbagai dampak negatif inilah maka tidak ada satu agama pun di atas dunia ini yang merestui perjudian. Dalam konteks ini Islam jelas mengharamkan perjudian sebagaimana tercatat dalam surah Al-Maidah ayat 90-91 yang mengisyaratkan bahawa perjudian adalah amalan syaitan yang menyesatkan dan mampu meruntuhkan keimanan dan mendatangkan kemudaratan.

Begitu juga dalam agama Kristian, perjudian dikutuk keras sebagai amalan diskriminatif yang menguntungkan satu pihak dan menganiaya satu pihak yang lain hingga meleburkan nilai-nilai kehormatan dan kemanusiaan seseorang sebagaimana yang tercatat dalam kitabnya The New Testament (Mark 12:31).

Bagi agama Buddha pula, perjudian dikutuk sebagai amalan yang jahat kerana ia menuntun kepada pelbagai natijah negatif yang mampu memporak-perandakan kehidupan. Dalam sebuah teks Buddha, Digha Nikaya, disebutkan bagaimana amalan perjudian mampu menjelmakan krisis moral yang parah termasuklah mencetuskan kebencian sesama manusia, menghancurkan harta benda dan menghakis kepercayaan masyarakat dan kerabat terhadap seseorang.

Pengharaman judi turut disebut dalam teks agama Hindu yang dikaitkan dengan pelbagai krisis nilai dan pendangkalan moral seperti hancurnya nilai amanah, hilangnya perasaan kasih sayang pada masa yang sama membiak amalan penyelewengan, menggejala nilai pembaziran dan membudaya pengabaian tanggungjawab dalam masyarakat (Tirukkural, 94: 931-940).

Inilah sebahagian daripada coretan perspektif amalan berjudi yang dipetik daripada pelbagai agama besar yang mewakili majoriti penduduk Malaysia. Secara keseluruhannya semua agama jelas menolak amalan berjudi yang lebih banyak mendatangkan kemudaratan daripada kebaikan.

Sebab itulah sebagai sebuah negara yang menjunjung tinggi amalan hidup beragama sebagaimana terungkap dalam prinsip pertama Rukun Negara, seharusnya mengambil kira sensitiviti majoriti masyarakat yang masih berpegang teguh kepada prinsip dan norma-norma agama dalam apa jua perancangan pembangunan negara.
Justeru PERKASA sekali lagi bertegas agar kerajaan tidak sekali-kali mengeluarkan lesen judi Piala Dunia yang dilihat akan lebih mendatangkan kemudaratan daripada kebaikan.

Prof. Madya Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Naib Presiden PERKASA

link : PERKASA

0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...